Updates On 14th Jul 2017
Tweet |
*LAPORAN SEMASA WABAK RABIES DI BAHAGIAN SERIAN, NEGERI SARAWAK 2017*
Tarikh: 14 Julai 2017 (Jumaat)
Masa: 5.00 Petang
Sehingga hari ini, *TIADA* kes Rabies manusia baru dilaporkan dan masih tercatat empat (4) kes disahkan Rabies di Serian, di mana tiga (3) kes telah meninggal dunia dan satu kes iaitu kes keempat sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak dan dalam keadaan kritikal.
Secara kumulatif (1 April hingga 14 Julai), aktiviti pengesanan kes secara aktif telah berjaya mengesan sebanyak *263 kes gigitan anjing* dalam kawasan *10 km* dari kawasan wabak di Bahagian Serian. 52 daripada 263 kes gigitan merupakan kes gigitan baru dari tempoh 2 Julai sehingga 14 Julai 2017. Sebanyak 197 kes telah diberi vaksin. Pasukan kesihatan sedang berusaha mengesan kes-kes yang belum datang ke Hospital Serian untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Memandangkan masih terdapat kes gigitan baru, masyarakat diseru supaya tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran. Masyarakat juga diminta untuk menghindarkan diri daripada digigit anjing/ haiwan liar. Mereka yang telah digigit anjing/ haiwan liar terutamanya dari kawasan terlibat diminta untuk tampil ke Hospital Serian bagi membuat pemeriksaan lanjut dengan kadar segera.
Manakala pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah memvaksinkan 2,801 ekor haiwan peliharaan. Daripada jumlah tersebut , 687 ekor anjing, 2,091 kucing dan 23 haiwan lain.
JPVS juga telah mengadakan sebanyak 64 kempen kesedaran mengenai wabak Rabies ini di kawasan yang terlibat yang dihadiri oleh 4,110 orang penduduk kampung.
Pada hari ini, pasukan vaksinasi telah menjalankan pemvaksinan 6 kampung iaitu di Kpg. Tangga, Kpg. Ranchan, Kpg. Koran, Kpg. Mentung Berawan/Silaga, Kpg. Sumpas, Kpg. Engkabang.
Pihak JPVS bersama Persatuan Veterinar Sarawak akan mengadakan kempen pemvaksinan di Bandar Serian untuk anjing di taman-taman perumahan dan kampung berdekatan sahaja pada hari Sabtu (15.07.2017) dan Ahad (16.07.2017) mulai jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang di empat (4) lokasi iaitu di Balai Babuk Gawing, Dewan Masyarakat Serian, Pejabat Veterinar Serian, dan Majlis Daerah Serian.
Semua pemilik haiwan peliharaan di Bandar Serian terutama di taman perumahan dan kampung yang berdekatan sahaja adalah diwajibkan untuk datang ke tempat-tempat dimana pemvaksinan haiwan akan diadakan.
Pihak JPVS akan menghantar pasukan pemvaksinan ke kampung-kampung di Daerah Serian untuk mengurangkan pergerakan haiwan.
Dalam hal ini, JPVS memohon kerjasama daripada semua pihak khususnya penduduk kawasan yang terlibat dengan wabak Rabies ini untuk menghubungi Bilik Gerakan JPVS di talian 082-621949/611607 bagi melaporkan sebarang haiwan peliharaan mereka khususnya anjing dan kucing yang berkelakuan luar biasa seperti (perubahan sikap dari jinak ke ganas, menggigit sebarang benda yang bergerak dan air liur berbuih).
Disediakan oleh:
*_Sekretariat_*
*_Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak_*
Tweet |
Facebook Comments